• Datuk Seri Noh Omar Datuk Seri Noh Omar
1 / 1
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sepang daripada Pas, Mohamed Hanipa Maidin dicabar menyatakan pendirian sebenar beliau berhubung fatwa Selangor yang mengharamkan Sisters in Islam (SIS) serta mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, cabaran itu dibuat susulan tindakan Ahli Parlimen itu yang membuat kenyataan bersama dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad serta Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa yang mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengenai pengharaman tersebut sebelum ini.

Tegas Noh, berdasarkan laporan sebuah portal berita pada 15 april 2005, Mohamed Hanipa yang ketika itu merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Pusat telah mengetuai satu perhimpunan di Masjid  Kampung Baru, Kuala Lumpur mendesak Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil tindakan tegas dengan membatalkan pendaftaran SIS.

“Jika dahulu beliau (Mohamed Hanipa) mengetuai perhimpunan aman menggesa kerajaan mengharamkan SIS, mengapa pula sekarang beliau pertikaikan fatwa Selangor yang telah pun  mengharamkan pergerakan itu.

“Kita tidak berniat mahu mencampuri urusan mahkamah (susulan tindakan SIS menfailkan semakan kehakiman terhadap fatwa tersebut). Cumanya kita persoalkan pendirian sebenar Ahli Parlimen Sepang ini dalam isu fatwa Selangor terhadap SIS ini.

“Apakah tindakan beliau itu (mempersoalkan fatwa Mais) dibuat atas kepentingan politik. Kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh mana-mana negeri termasuklah di Selangor,” katanya yang turut menegaskan bahawa institusi fatwa adalah menjangkaui daripada politik.

Pada 4 Oktober lalu, Mohamed Hanipa serta Khalid dan Mujahid dalam satu sidang media dilaporkan menyifatkan fatwa Mais terhadap liberalisme dan pluralisme sebagai usaha “terburu-buru” dan “drastik” kerana dua perkataan itu tidak ditakrifkan dengan betul.

Mereka menyatakan pihak berkuasa agama sepatutnya mengusahakan satu dialog untuk mengenalpasti maksud “pluralisme” dan “liberalisme” terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan selain menganggap fatwa adalah bersifat secara umum dan  tidak pernah dikelaurkan terhadap seseorang secara spesifik.