• Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
ALOR SETAR - Terdapat ahli Pas yang terlalu taksub kepada pemimpin, terutama presidennya, hingga wujud tanggapan kononnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai presiden parti selama-lamanya.

Pada hakikatnya, jawatan presiden akan berakhir dalam tempoh tertentu, iaitu apabila diadakan pemilihan dalam muktamar parti menjelang 2015.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, perkara itu sudah ditetapkan dalam perlembagaan parti itu, dan adalah tidak relevan untuk mengaitkan Pasma dengan hasrat mahu menggulingkan Abdul Hadi.

“Hakikatnya jawatan presiden ada tempoh tertentu, iaitu dipilih dalam muktamar setiap dua tahun. Mana-mana presiden sedia ada perlu dicalonkan semula untuk bertanding dan perwakilan yang akan tentukan siapa layak,” katanya.

Phahrolrazi berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan yang dibuat olehnya di laman sosial, pasmapr.blogspot.com, yang dimuat naik 31 Oktober lalu, ‘Presiden Pasma menjelaskan bahawa Ustaz Haji Abdul Hadi Awang bukanlah Presiden Pas seumur hidup’.

Katanya, kenyataan itu untuk menjawab pertanyaan seorang peserta pada program dialog NGO yang diadakan di Sungai Petani, baru-baru ini.

“Jawapan saya itu tiada kaitan dengan dakwaan Pasma berhasrat mahu jatuhkan Abdul Hadi, sebab kami adalah NGO dan kedudukan kami adalah di luar parti. Ahli Pasma juga bukan perwakilan dalam Pas. Tuduhan itu tidak berasas,” katanya.

Tambahnya, hanya perwakilan Pas berhak menentukan siapa Presiden Pas seterusnya, kerana berdasarkan perlembagaan parti, ahli-ahli Pas berhak dicalonkan memegang sebarang jawatan dalam Pas.

Mengulas mengenai kenyataannya dalam laman sosial itu, berkaitan pengakuan beliau antara sumber rujukan penulis bebas yang menulis buku ‘Kejatuhan kerajaan Pas Kedah’, Phahrolrazi berkata, dakwaan penulis hanya merujuk kepada dirinya dan bekas Exco Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, adalah tidak benar.

“Penulis memang ada jumpa saya untuk dapatkan maklumat. Saya andaikan maklumat diambil sekitar 10 peratus sahaja. Selebihnya penulis rujuk pemimpin lain,” katanya.

Phahrolrazi, yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah, berkata, ada banyak kesilapan fakta dalam buku itu.

“Benar ada maklumat tidak tepat, namun saya tak seleweng fakta sejarah berkaitan kerajaan PR Kedah selama sepenggal. Saya sokong tindakan Pas Kedah tubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu itu,” katanya.

Tambahnya, pihak berkaitan perlu tampil memperbetulkan kesilapan fakta dan memaklumkan kepada penulis.