• Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
1 / 1
SHAH ALAM - Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus memegang jawatan Presiden Pas dan tidak akan berundur, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab mengenai laporan media tentang terdapat wujudnya ahli-ahli parti yang mahu jawatan tertinggi itu dipegang pemimpin lain.

Katanya, Pas masih memerlukan khidmat Abdul Hadi berdasarkan kredibilitinya.

Beliau menyifatkan  Abdul Hadi sebagai pemimpin yang sukar dicari ganti.

Abdul Hadi adalah Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang, pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Beliau menjadi presiden sejak 2003 selepas Datuk Fadzil Mohd Noor meninggal dunia.

Menurut Mustafa, Pas tidak pernah membincangkan perkara itu sungguhpun ada dakwaan Abdul Hadi jarang hadir mesyuarat penting.

"Beliau (Abdul Hadi) akan terus jadi presiden, mungkin 10 atau 20 tahun lagi. Saya tidak tahu bagaimana ada berita mengatakan wujud saranan daripada ahli parti minta beliau undur, sedangkan kami semua bersatu teguh di belakang presiden.

"Bukan sepanjang masa beliau tidak hadir, tetapi ia tidak jadi masalah kerana urusan kerja masih boleh diteruskan seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ahli Pas sudah mengetahui tahap kesihatan Abdul Hadi, tetapi tidaklah sampai mahu mencari penggantinya.

"Saya tidak tahu bagaimana cerita sebegitu boleh wujud sedangkan tidak ada yang mempersoalkan ketidakhadiran Abdul Hadi dalam mana-mana mesyuarat kerana tahu tahap kesihatan beliau yang kurang baik ketika ini.

"Sungguhpun beliau tidak hadir, (keputusan dan hasil) perjalanan mesyuarat akan saya maklumkan kepada beliau. Perkara tidak hadir ini bukan baru berlaku.

Dah lama, tapi tidak pula jadi isu. Entah kenapa sekarang ada pihak yang pertikai," katanya.

Mustafa berkata, jika Abdul Hadi tidak hadir, mesyuarat akan diwakili Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

"Bukan sahaja mesyuarat parti, malah perkara sama akan dilakukan jika beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat-mesyuarat PR. Semua itu, ahli sudah maklum," katanya.

Mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempersoalkan ketidakhadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat PR, Mustafa berkata, itu kenyataan parti lain.

"Tiada ahli Pas yang persoalkan. Guan Eng bukan daripada Pas. Beliau daripada parti lain. Asalkan semua ahli Pas tahu, sudah cukup," katanya.

Mustafa jelaskan, isu memujuk Abdul Hadi berundur tidak pernah berlaku dalam parti dan tidak akan berlaku.