• Dr Asyraf Dr Asyraf
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menangani isu banjir di Kelantan dilihat sebagai satu pencapaian luar biasa, kata Senator, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata kejayaan kerjasama itu dibuktikan apabila pembentukan Jawatankuasa Bencana Banjir di Kelantan yang diwujudkan untuk menangani masalah banjir di negeri itu tidak dipengaruhi  prasangka politik.

"Apa yang dipersetujui oleh mereka (kerajaan pusat dan kerajaan negeri) ialah harus mewujudkan 'pusat bersama' kerana bencana banjir kali ini besar dan memerlukan penyelarasan yang berkesan," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemu bual oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dan pengacara bersama Shuhaimi Mohamed dalam rancangan 'Landskap Khas Banjir' yang disiarkan secara langsung di TV1 malam tadi.

Seorang lagi tetamu khas, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang telah menyentuh mengenai punca utama berlakunya banjir besar di negeri Terengganu disebabkan taburan hujan yang banyak dan masalah sistem perparitan.

Katanya, kejadian banjir diramalkan akan berlaku setiap tahun dan seharusnya pengalaman lepas dijadikan kayu ukur untuk meningkatkan sistem keselamatan ketika bencana berlaku. 

"Di Terengganu, setakat ini lebih daripada 1,500 orang sukarelawan yang berdaftar dan kemahiran mereka dikenal pasti dan diletakkan mengikut kluster supaya tiada berlaku pertindihan kerja. 

Mereka yang mahir kepada satu-satu kerja seperti menyelamat, memasak, mencuci dan sebagainya mampu bertindak segera di pusat-pusat pemindahan dan rumah mangsa," katanya. 

Tambahnya lagi, sukarelawan ini akan diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri dengan memberikan peruntukan untuk melatih mereka supaya sentiasa bersiap sedia membantu ketika bencana menimpa. - Bernama