• Pekerja syarikat gores dan menang yang berdepan tuduhan hadir di mahkamah, semalam. Pekerja syarikat gores dan menang yang berdepan tuduhan hadir di mahkamah, semalam.
1 / 2
SEREMBAN – Seramai 32 pekerja syarikat gores dan menang termasuk tiga wanita dan tiga remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini semalam.

Kesemua mereka didakwa secara berasingan atas pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah pada tarikh, waktu dan lokasi berbeza.

15 daripada tertuduh iaitu Leong Weng Khee, 19, Lai Jai Hing, 20, Goh Teck Hoe, 25, Yong Boon Kit, 22, Lee Mun Fai, 25, Jonathan Ting Zhi Haw, 22, Anthony Yoong Wee Ann, 31, Alex Lim Wee Yeow, 26, Lim Wei Zhang, 20, Teh Yong Xin, 19, Sim Zhi Chun, 25, Yap Yeong Sen, 32, Wai Fu Tian, 19, Sei Keh Hoo, 19, dan Yee Mei Teng, 20, yang masing-masing dituduh secara berasingan membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.

Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah memberikan hukuman minima berikutan ia kesalahan pertama mereka.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Khairiah memberikan peringatan supaya tidak memandang mudah akan kesalahan berkenaan dan perlu jadikan pengajaran.

Siti Khairiah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM100 setiap seorang. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan penjara 14 hari.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seramai 15 lagi tertuduh turut membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Mereka ialah Wong Tze Yee, 21, Chia Yong Yoo, 22, Wong Chee Kit, 27, Yee Chee Chun, 32, Lee Yong Sian, 23, Wong Chin Hao, 29, Kong Kok Siong, 22, Lye Chooi Fun, 21, Paul Yong Yung Chen, 22, Lai Jai Hing, 20, Tee See Yew, 20, Khoo Wai Mun, 29, Hoo Li Hoon, 26, dan Lee Ching Hong, 28, termasuk seorang yang dituduh sebelum ini, Leong Weng Khee, 19.

Tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja merayu agar hukuman ringan diberikan kerana kesalahan terbabit adalah kesalahan pertama.

Elena bagaimanapun menjatuhkan hukuman denda RM100 setiap seorang dan sekiranya gagal membayar denda itu, mereka boleh dipenjara tiga hari.

Manakala, di Mahkamah Juvana di sini, tiga remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dibebaskan dengan ikat jamin RM300 setiap seorang dan kes akan disebut semula pada 23 Februari depan bagi menunggu laporan sosial.

Mengikut kepada kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa sedang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memiliki lesen perniagaan sah dan terdapat bilangan keping kad baucar ‘super sales’ dalam simpanan berbeza jumlah bagi setiap tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi berbeza antara 12.30 tengah hari hingga 6 petang pada 24 Disember hingga 9 Januari lalu di beberapa pasar raya seperti Kipmart Lavender Height, Econsave Taman Forest Height, Tesco Seremban Jaya, Giant Senawang dan Tesco Seremban 2.