• Abu Kassim Mohamed Abu Kassim Mohamed
1 / 1
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengatur pertemuan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai bukti terhadap bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamad berkata, pertemuan itu akan dibuat bergantung pada masa terluang Anwar.

"Pegawai saya akan mengaturkannya bila beliau (Anwar) mempunyai masa, kemudian kami akan temui beliau," kata Abu Kassim kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program 'Cross Fertilization' antara SPRM dengan NSTP Berhad di sini hari ini.

Mengenai pertemuan dengan Daim baru-baru ini berhubung siasatan kes berkenaan, Abu Kassim berkata beliau (Tun Daim) memberi kerjasama penuh.

Semalam, Anwar memberitahu pemberita bahawa beliau mempunyai bukti yang mengaitkan Daim dengan dakwaan salah guna kuasa dan kedudukan.

Anwar berkata, beliau sedia membantu SPRM dalam siasatan itu. - Bernama