PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah menolak rayuan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel untuk memberi lebih masa bagi mengadakan semula pemilihan parti. 

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden parti itu Datuk M.Saravanan selepas berjumpa dengan pihak ROS di pejabat ROS di sini hari ini. 

Menurut beliau, ROS telah mengeluarkan surat kepada 
MIC bertarikh 6 Jan lalu, mengatakan bahawa keputusan untuk mengadakan semula pemilihan cawangan dalam tempoh 30 hari, bahagian (60 hari) dan pusat (90 hari) (dari tarikh 31 Jan) adalah muktamad.

"Dalam surat itu, ROS jelas mengatakan mereka tidak akan melayani sebarang rayuan. Sehingga hari ini, isu (pemilihan) cawangan tidak diselesaikan dan hanya tinggal 10 hari untuk pemilihan semula.

"Notis perlu dikeluarkan 14 hari sebelum pemilihan. Saya yakin kedua-dua cawangan ini telah dibubarkan kerana gagal mengadakan pemilihan semula. Namun, ia terpulang kepada bidang kuasa ROS untuk beri peluang kedua atau tidak," katanya kepada pemberita di pejabat ROS, di sini.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, melahirkan rasa kecewa terhadap sikap acuh tak acuh presiden MIC dalam menyelesaikan kemelut parti yang dianggotai kira-kira 600,000 ahli. 

Susulan itu, beliau memberi surat kepada ROS meminta kebenaran untuk melantik semula perwakilan MIC bagi tempoh 2009-2012 untuk ambil alih kuasa parti dan mengadakan pemilihan semula itu. 

"Seperti yang semua tahu, pemilihan parti pada 2013 adalah tidak sah. Jadi saya minta kepada ROS untuk iktiraf semula kepimpinan semasa 2009-2012 untuk ambil alih kuasa dan menjalankan pemilihan semula parti. 

"Saya harap ROS luluskan permintaan saya ini kerana jika ia diluluskan, kami akan membuat perbincangan untuk menyelamatkan Bahagian yang diarah untuk membuat pemilihan semula," jelasnya. 

Pada 5 Dis, ROS mengisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semasa perhimpunan agung MIC pada November 2013.

ROS menasihati parti itu supaya mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari. - Bernama