• Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
1 / 1
SHAH ALAM – Pemuda Pas menyerahkan segala keputusan kepada pimpinan kawasan berhubung isu jawatan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicadangkan agar tidak dicalonkan bagi jawatan sama pada pemilihan parti 2015-2017 ini.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, pimpinan Pas peringkat kawasan yang bertanggungjawab mencadangkan mana-mana calon bagi jawatan Presiden dan bukannya dibuat secara individu.

“Pemilihan pimpinan Pas ini dicadangkan oleh pimpinan Pas peringkat kawasan. Di peringkat kawasan itu, mereka mempunyai penilaian mereka sendiri.

“Biasanya, saya lihat mereka tidak terpengaruh dengan pandangan-pandangan yang ada di luar. Mereka ada pandangan mereka sendiri, jadi, kita serahkanlah pada pimpinan Pas kawasan untuk menentukan perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Ketika diminta mengulas soal tindakan bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff yang membuat kenyataan di laman Facebook minggu lalu berhubung jawatan Abdul Hadi itu, Suhaizan berkata, sebagai ahli biasa, Zulhazmi berhak memberi pandangan.

“Saudara Zulhazmi itu ahli biasa dalam Pas, jadi, dia nak beri pandangan terpulang pada dia sebab itu saluran yang dia ada. Dia bukan pimpinan Pas (untuk bercakap dalam mesyuarat). Jadi terpulanglah.

“Dia bukan mewakili mana-mana pimpinan Pas kawasan. Itu hak dia. Kerana akhirnya keputusan itu nanti akan dibuat oleh pimpinan Pas kawasan juga,” katanya.

Ketika diminta mengulas soal kenyataan seorang penganalisis politik yang menjangkakan dalam pemilihan akan datang, Pas sekali bakal dipimpin golongan ulama, beliau mengingatkan bahawa kekuatan Pas adalah hasil kombinasi kedua-dua golongan tersebut.

Sehubungan itu, Pemuda tidak mempunyai sebarang kekangan untuk dipimpin oleh mana-mana golongan.

“Kekuatan Pas itu adalah kerana kombinasi profesional dan ulama. Jadi, kita (Pemuda) tak ada masalah atas kombinasi itu.

“Selama ini pun, atas kombinasi itu. Bukan seorang saja yang memerintah dalam Pas ini. Hakikatnya begitu,” katanya.