• Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia semalam.
    
Sirul Azhar kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen negara itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.
   
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Australia, Sirul Azhar ditahan atas kesalahan Akta Imigresen negara itu.     
    
Susulan penangkapan itu, katanya polis akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan ekstradisi terhadap Sirul Azhar ke Malaysia bagi menjalani hukuman atas kesalahan membunuh model sambilan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lepas.
    
"Kita akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara dahulu," katanya kepada Bernama di sini.    
    
Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009. 
    
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan. 
    
Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.  
    
Bagaimanapun, Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana dipercayai berada di Australia.  
    
Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. – Bernama