• Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas desakan ahli Pas supaya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berundur dan tidak bertanding dalam pemilihan parti itu Jun ini.

Bagaimanapun Anwar berkata, tidak wajar baginya dan pimpinan PKR lain untuk mencampuri masalah rakan komponen PR itu kerana ia merupakan urusan dalaman Pas.

"Itu soal urusan Pas, tidak adil saya komen perkara itu lebih-lebih lagi untuk bincang hal Pas, malah tidak adil untuk kita campurinya," katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Bersama Anak Muda anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff yang mencadangkan Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017 pada pertengahan tahun ini.

Sebaliknya Abdul Hadi lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Sementara itu, Anwar juga memberitahu pihaknya akan membawa isu pilihan raya PBT Pulau Pinang yang dibuat tanpa persetujuan PKR dan Pas dalam mesyuarat Majlis PR akan datang.

"Saya dapat penjelasan daripada DAP semalam dan kita setuju supaya perkara ini dirujuk dalam mesyuarat PR akan datang.

"Tarikh akan ditetap sebaik saja ada persetujuan daripada semua pimpinan dan kami masih menunggu (persetujuan)," ujarnya.

Ditanya tentang kemungkinan mesyuarat Majlis PR akan dibuat selepas penstrukturan semula Bajet 2015 pada Selasa ini, Anwar bagaimanpun enggan memberi sebarang tarikh.

"Kita menunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberi respon pada Selasa untuk menyedari betapa serius (krisis ekonomi) perkara ini.

"Sebab itu kita menggesa jawatankuasa krisis nasional itu dianggotai oleh semua parti dan NGO untuk membincangkan krisis ekonomi termasuk mangsa banjir di semua negeri yang terlibat," katanya lagi.