• Keadaan banjir di Kelantan Keadaan banjir di Kelantan
1 / 1
TUMPAT - Bekalan makanan di negeri-negeri terjejas teruk akibat banjir dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata banjir yang berlaku itu menyebabkan terdapat jalan raya terputus hubungan kerana dinaiki air yang menjejaskan penghantaran bekalan bahan mentah. 

"Bekalan sebenarnya mencukupi cuma kadang kala ada tempat yang terputus hubungan, jalan raya tidak boleh dilalui menyebabkan kita tidak boleh hantar barang ke lokasi berkenaan (di kawasan terjejas banjir). 

"Doakan sahaja supaya cuaca bertambah baik ... lagi cepat keadaan cuaca baik lagi cepat la keadaan kembali seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan kawalan dan barangan keperluan di Pasar Besar Wakaf Baharu di sini hari ini. 

Hasan turut menggesa golongan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya ketika musim banjir. 

"Pengguna pula perlu bijak untuk timbulkan rasa simpati dalam kalangan peniaga supaya tidak naikkan harga sesuka hati. 

"Pengguna boleh memujuk peniaga untuk membantu mangsa banjir secara langsung atau tidak langsung dan tidak mengambil keuntungan terlalu tinggi walaupun peniaga menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan mentah," katanya.  - Bernama