• banjir
1 / 1
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memerlukan peruntukan RM52.5 juta bagi membina penempatan kekal untuk mangsa banjir yang hilang tempat tinggal akibat bencana itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata selain penempatan sementara yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga mempunyai rancangan jangka panjang membina rumah 'Dhuaafat' (tiga bilik) untuk mangsa banjir di negeri itu.

"Kita sedang berusaha mencari dana sebanyak RM52.5 juta bagi melaksanakan projek tersebut supaya kumpulan terbabit yang dianggarkan 1,500 mangsa, memiliki tempat tinggal baharu.

Kita juga mengharapkan sumbangan daripada semua pihak termasuk jutawan-jutawan, mahupun institusi perbankan bagi membina penempatan untuk mangsa yang hilang tempat perlindungan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gotong-royong perdana pasca banjir Kelantan di Pintu Kota Sultan Ismail Petra (Dataran Al-Quran) di sini, hari ini.

Gotong-royong itu yang melibatkan 1,700 sukarelawan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), diadakan bagi memulih dan mengembalikan keindahan kawasan terjejas banjir, termasuk sekitar bandar Kota Baharu.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga sedang mengumpul maklumat mengenai kawasan dan bangunan yang sesuai dijadikan penempatan sementara untuk mangsa banjir di negeri itu.

"Semua maklumat itu akan diserahkan oleh ketua jajahan terbabit hari ini, kita akan gunakan kawasan mahupun bangunan termasuk kuarters kerajaan yang sesuai dijadikan penempatan sementara.

Insya-Allah kita dapat cari tapak untuk penempatan sementara... langkah  lain selepas ini adalah dengan mewujudkan rumah transit," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha untuk menyediakan tempat tinggal sementara untuk penduduk khususnya di Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah yang terjejas teruk akibat banjir. - Bernama