• Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
1 / 1
PUTRAJAYA - Kerajaan menjangkakan kemusnahan akibat bencana banjir yang berlalu di beberapa negeri menelan kos berbilion ringgit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kos sebenar sukar dijangka tetapi sudah ada arahan dikeluarkan untuk mendapatkan jumlah sebenar melibatkan semua mangsa.

"Sukar untuk saya tafsirkan, tetapi saya sudah keluarkan arahan kepada Jawatankuasa Khas Banjir untuk di seluruh peringkat daerah dan negeri untuk mula buat perkiraan tahap kerosakan di semua kawasan terlibat.

"Bukan sahaja harta kerjaan termasuk hak individu, supaya kita dapat lihat kesan banjir itu serta langkah-langkah yang perlu diambil," katanya ketika berucap dalam program pelepasan sukarelawan Jabatan Perdana Menteri Membantu Mangsa Banjir di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pasca banjir merupakan cabaran paling sukar bukan sahaja buat mangsa malah kepada semua rakyat di negara ini.

"Apabila keadaan dah pulih sedikit, mulalah semua pulang ke rumah masing-masing. Bermulalah urusan seperti bersih kawasan dan sebagainya.

"Cabaran pasca banjir adalah maha hebat. Kita lihat banyak rumah yang sudah rosak dan dihanyutkan oleh banjir. Keadaan air yang kuat dan deras. Harta benda rosak, banyak peralatan rumah yang tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Beliau berkata, perkara sama turut melibatkan sekolah di mana peralatan sekolah seperti buku, komputer dan banyak lagi musnah akibat banjir.

"Saya dan semua kementerian mengambil inisiatif untuk membantu pasca banjir ini.

"Ini merupakan tugas yang amat mencabar. Kementerian Pendidikan misalnya akan mengurus dan menyelaras semua urusan di Kelantan," katanya.

Beliau berkata, dengan tanggungjawab menggalas dua peranan besar iaitu pendidikan dan banjir, besar harapan untuk melihat banyak pihak tampil memberi bantuan.

"Saya harap semua NGO, persatuan-persatuan sukarela, syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan bukan hanya makanan malah tenaga dan keperluan lain.

"Banyak kerja yang perlu diuruskan. Saya seru semua pihak-pihak ini memberikan bantuan sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan pihaknya tidak akan mengabaikan nasib mangsa banjir.

"Kita berdoa semua semua mangsa banjir terus diberi semangat.

"Kita tidak akan abai nasib mereka dan akan terus turun ke kampung-kampung membantu supaya kehidupan mereka dapat pulih seperti sediakala," katanya.