• PASCA BANJIR
1 / 1
SHAH ALAM - Kerjasama antara kerajaan Kelantan dan pusat berhubung penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri Kelantan sepatutnya terjalin bukan sahaja diakibatkan bencana alam itu.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kerjasama seumpama itu perlu diwujudkan untuk membantu Kelantan dari pelbagai aspek.

“Kita sambut baik sebarang bentuk hubungan antara kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan yang memang sepatutnya terjalin untuk kebajikan rakyat.

“Kerjasama seumpama ini tiada masalah dari semua pihak kerana memang tanggungjawab pusat untuk bantu negeri yang ada di dalam negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerjasama itu perlu diambil secara positif supaya semua pihak dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Risau juga jika ada yang salah faham mengatakan jawatankuasa ini adalah disebabkan Pas dan Umno bergabung. Tapi rasanya mereka (rakyat) faham dengan penubuhan jawatankuasa ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu bagi memulihkan Kelantan.

Ia dipengerusikan secara bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.