KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa jenazah mendiang Tan Wei, pelajar warganegara Malaysia di sebuah universiti di Hangzhou, Wilayah Zhejiang yang terbunuh dalam insiden rempuhan di Chen Yi Square (The Bund), Shanghai, China akan dibawa pulang ke Malaysia untuk dikebumikan.

Satu upacara sembahyang dan penghormatan terakhir telah diadakan di Krematorium Shanghai pada hari Ahad, 4 Januari 2015.

Ibu bapa mendiang akan mengiringi jenazah pulang ke Malaysia pada hari Isnin, 5 Januari 2015 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah petang.

Dalam perkembangan yang lain, Cik Ooi Hooi Yi yang turut terlibat dalam kejadian masih dirawat di Hospital Changzheng dan dilaporkan bertambah pulih. Keadaan beliau semakin baik dan tiada sebarang pendarahan dalaman dilaporkan.

Wisma Putra merakamkan ucapan takziah dan akan terus memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada keluarga mendiang. - Bernama