• Tan Sri Ismail Omar Tan Sri Ismail Omar
1 / 2
SHAH ALAM - Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar meminta rakyat Malaysia yang berada di negara itu tidak cemas dan panik berikutan insiden serangan terhadap pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, semalam.
 
Katanya, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan.
 
“Rakyat Malaysia tidak perlu mendengar sebarang khabar angin berhubung kejadian itu, dan berharap rakyat Malaysia menghubungi kedutaan Malaysia di Paris bagi mengetahui keadaan sebenar.
 
 “Keadaan adalah terkawal dan selamat,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi terkini berkenaan kejadian yang berlaku  di Ibu Pejabat Charlie Hebdo di Paris, semalam.
 
Katanya, jika timbul sebarang pertanyaan mengenai keadaan semasa di sana, rakyat Malaysia boleh hubungi kedutaan Perancis di nombor +330145531185.
 
Setakat, ini seramai hampir 600 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia.
 
Serangan terhadap Charlie Hebdo menyaksikan dua suspek bersenjata melepaskan tembakan.
 
Insiden itu menyaksikan 12 orang termasuk 2 anggota polis terbunuh.
 
Charlie Hebdo, merupakan syarikat akhbar yang menimbulkan kemarahan umat Islam kerana mencetak kembali karikatur Nabi Muhammad SAW pada 2011.
 
Syarikat itu ditubuhkan pada 1970 dan popular dengan kartun dan penulisan keras yang membabitkan ahli politik dan pelbagai agama.
 
Pada 2012, dunia dikejutkan dengan filem 'Innocent of Muslims' dan Charlie Hebdo mengambil kesempatan tersebut untuk menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW, sekali lagi.
 
Susulan penerbitan kartun tersebut, sekolah dan kedutaan Amerika dan Perancis ditutup di lebih 20 negara sebagai langkah berjaga-jaga.