• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
PUTRAJAYA - Perbincangan mengenai kerusi Parlimen Permatang Pauh yang kosong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan diumum dan diuruskan selepas ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kekosongan kerusi Parlimen tersebut berlaku ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Semua kita uruskan kemudian. Hari ini ialah hari penghakiman. Satu persatulah.

"Yang penting kita rasa sangat hampa dan dukacita dengan keputusan ini," katanya kepada pemberita selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pakatan akan memastikan kesedihan yang dihadapi ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memihak kepada Anwar hari ini ditebus dengan menguatkan pakatan pembangkang.   

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, persoalan bagaimana hendak menggerakkan PR akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

"Saya tidak mahu mendahului keputusan mesyuarat. Biar perkara ini dibincang," jelasnya.

Ditanya di mana mesyuarat berkenaan akan diadakan, Mohd Hatta menjawab: "Di Petaling Jaya."

Anwar hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya tujuh tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh.

Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan akan mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam tempoh 10 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan. - Bernama