• Nurul Nuha Anwar Nurul Nuha Anwar
1 / 1
SHAH ALAM – Tindakan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghantar permohonan pengampunan Diraja hari ini adalah kerana mereka yakin Anwar tidak bersalah atas sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Menurut anak kedua Anwar, Nurul Nuha Anwar, petisyen tersebut membuktikan bahawa pihaknya masih yakin kepada proses perlembagaan dan prinsip keadilan di negara ini.

Katanya, petisyen tersebut telah diserahkan pada pihak Istana tepat jam 3.30 petang ini.

“Mahkamah mungkin telah menjatuhkan hukuman bersalah tetapi kami sekeluarga yakin bahawa ayahanda kami tidak bersalah.

“Justeru itu kami membuat permohonan petisyen bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Anwar mohon pengampunan Diraja ]

Katanya, tindakan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong ini adalah atas keputusan keluarga.

“Kami memutuskan untuk menghantar petisyen berdasarkan berlakunya pengenepian prinsip-prinsip keadilan dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah ke atas ayah kami.

“Ia bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui institusi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata petisyen itu dibuat atas faktor bahawa keluarga Anwar percaya ada penyelewengan dalam sistem pengadilan ketika Anwar disabitkan dengan kesalahan.

"Dengan ini petisyen berkenaan meminta pihak istana campur tangan bagi memberi pengampunan kepada Anwar," katanya.

Tian Chua berkata, satu salinan petisyen telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini, petang ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa petisyen itu dikemukakan bukan atas dasar kerana mahu kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dipertahankan.

"Kedudukannya sebagai ahli Parlimen bukan lagi isu, terpulang kepada Speaker Dewan mahu membatalkannya, ini soal keadilan kepadanya," katanya.