• Pas
1 / 1
MELAKA - Pendirian Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya ahli-ahli tidak mengkhianati jemaah dan memahami prinsip bai’ah serta wala’ sewajarnya disokong.

Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, perkara itu sememangnya sering menjadi tarbiah di dalam Pas sejak dari dahulu lagi.

Katanya, semua ahli Pas perlu memahami konsep itu kerana ia bukan  sekadar teori serta retorik.

Menurutnya, ahli-ahli perlu segera menghentikan segala perbuatan yang merugikan parti termasuk berkhidmat bagi pihak lain atau mengkhianati jemaah.

“Saya merasakan perkara ini perlu difahami oleh semua ahli Pas yang selama ini ditarbiah dan diaplikasikan dalam perjuangan. Mereka selama ini bercakap tentang wala’. Apa akan terjadi, jika mereka jadi ketua parti sedangkan ahli tidak wala’.

“Kalau kematian Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semua berasa satu kehilangan besar, mereka perlu menghayati dan mengambil iktibar apakah perjuangan asas Tuan Guru yang selama ini memartabatkan perjuangan ulama, majlis syura dalam Pas bagaimana patuh
dalam kepimpinan,” katanya.

Kamarudin turut menempelak sebahagian kecil pihak yang cuba memburukkan pemimpin parti itu dengan memakai pakaian Pas tetapi bersuara daripada parti lain.

“Ada sebahagian kecil ahli Pas yang bersifat sedemikian, mereka mengkhianati parti dan menunjukkan satu contoh tidak baik sehingga boleh menyebabkan kemusnahan integriti atau kepimpinan ulama dalam Pas.

“Mereka perlu ingat inilah kelainan dengan parti-parti lain, kita ada majlis syura dan kita didasari oleh kepentingan agama yang diletakkan di hadapan.

“Biar kita sama-sama dengan rakan Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya tetapi kita ada asas, biar kita melangkah ke Putrajaya dalam keadaan diredhai ALLAH tanpa menggadaikan prinsip perjuangan Pas yang didasari perjuangan Islam,” katanya.

Malah, katanya, rakan-rakan dalam PR perlu memahami situasi itu dan menghormati pendirian Pas serta presidennya.

“Pas mempunyai identiti tersendiri sebagai parti yang berteras politik berdasarkan agama Islam. Kita ada perkara yang boleh dipersetujui dan ada yang kita tidak bersetuju, ia berlainan dengan parti lain yang lebih kepada ideologi.

“Pas sebuah parti yang sinonim dengan asas agama, maka sudah tentu ada perkara yang diizinkan dan ada yang tidak.

 “Presiden adalah seorang yang mengetuai gerakan Islam terbesar di negara ini, maka sudah tentu beliau membuat keputusan yang melambangkan pendirian serta hala tuju parti,” tegasnya.