• Azman Shapawi Abdul Rani
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Pengkhianat juga didakwa turut wujud dalam Pas, demikian kata Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani.

Katanya, beliau tidak menolak perkara itu wujud berikutan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan sebagaimana berlaku kebelakangan ini, dan tidak mustahil mereka akan melakukan perkara-perkara yang melemahkan perjuangan parti.

Sehubungan itu katanya, mereka yang mengkhianati parti perlu ‘dibersihkan’ dalam Pas kerana disifatkan membawa penyakit yang boleh memberi kesan yang parah.

“Kalau ada nawaitu untuk jatuhkan kepimpinan dengan cara tidak betul, mereka boleh dianggap pengkhianat.

“Sepatutnya kalau tidak setuju gunalah muktamar pada Jun ini untuk jatuhkan pemimpin dan bukan mendedahkan keburukan serta keaiban secara terbuka. Mesti beradab dan berakhlak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau menjelaskan, isu pengkhianatan terhadap parti tidak dapat dielak dan karakter itu sering wujud dalam sejarah perjuangan Islam untuk melemahkan kekuatan dalaman dan perjuangan yang dibawa.

Sehubungan itu katanya, tindakan tegas termasuk ‘pembersihan’ perlu dilakukan segera bagi mengelak keadaan lebih buruk.

Jelasnya, sikap tidak mengikut saluran yang betul dan menghentam kepimpinan secara terbuka adalah keluar daripada adab berjemaah yang perlu ditangani segera.

Sementara itu, mengulas tindakan pihak tertentu terutama yang terlibat dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), beliau memberitahu terdapat dua golongan dalam NGO itu iaitu secara ikut-ikutan, manakala satu pihak lagi mempunyai hujah tertentu.

Jelasnya, dalam kalangan ahli NGO itu, ada yang mengkritik kepimpinan Pas secara terbuka sedangkan individu tersebut dalam masa sama adalah ahli parti.

Dalam isu ini katanya, badan disiplin parti perlu mengambil tindakan serius dalam memastikan mereka tidak melanggar adab berjemaah dalam parti.

“Setiausaha Agung Pas juga perlu bertanggungjawab dengan memanggil orang ini dan mengambil sikap telus berhubung perkara ini,” katanya.