• Program Jelajah Liwat II kecoh
1 / 3
PERMATANG PAUH - [DIKEMASKINI] Program Jelajah Liwat II kecoh apabila penyokong BN dan pembangkang bertikam lidah, menjerit dan maki-hamun antara satu sama lain di luar pekarangan Politeknik Seberang Perai, di sini, malam semalam.

Kekecohan itu berlarutan kira-kira tiga jam sejak kedua-dua penyokong mula berhimpun di luar pekarangan kampus berkenaan jam 8 malam sebelum memasuki dewan di mana berlangsungnya program itu yang dihadiri ketua pendakwa raya kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hingga jam 11.15 malam, keadaan di sekitar Dewan Seri Mutiara politeknik itu bertambah kecoh dengan jumlah orang ramai semakin bertambah.

Dianggarkan lebih 400 anggota polis, termasuk daripada Unit Simpanan Persekutuan, berada di antara kumpulan penyokong untuk mengelakkan sebarang insiden yang lebih mencabar.

Pertikaman lidah dan maki-hamun itu tercetus apabila timbul cabar-mencabar serta provokasi antara kedua-dua pihak terbabit yang turut disertai wakil-wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pihak penyokong BN dan pembangkang.

Terdahulu, kira kira 200 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari seluruh Pulau Pinang dan NGO seperti Langgar, Jingga dan Kamu, hadir untuk membantah program penerangan yang disampaikan oleh Muhammad Shafee.

Ketua AMK Bukit Mertajam Mohd Ikhwan Nasser berkata, program itu tidak wajar diadakan di institusi pendidikan.

“Penganjuran program ini bermotifkan politik.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya institusi pendidikan seperti universiti dan politeknik dijadikan platform untuk menyebarkan dakyah jijik dalam politik serta menggunakan pendekatan lucah dalam memberi penerangan terhadap kes liwat II itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perhimpunan itu juga tidak sesuai dengan norma masyarakat timur.

“Dalam hal ini, mahkamah sudah putuskan Datuk Seri Anwar bersalah. Sudahlah, apa lagi yang nak babitkan pelajar?

“Susulan program itu, kami menggerakkan kekuatan anak muda Pulau Pinang untuk membanteras segala program bersifat lucah yang sekali gus dilihat menjadi medan Umno untuk terus memperbodohkan mahasiswa dan kami juga berjuang untuk membebaskan institusi pendidikan daripada segala pengaruh politik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Batu Kawan, Mohamad Hilmi Ibrahim berkata, pihaknya hadir bersama kira-kira 300 penyokong yang turut disertai beberapa NGO Melayu termasuk Perkida, adalah untuk memberi sokongan kepada program tersebut tanpa ada kepentingan politik.

"Kami mahu orang ramai tahu perkara sebenar dan tidak lagi mencetuskan sebarang kontroversi," katanya.

Sementara itu, lebih 100 orang menghadiri forum mengenai pendedahan kes liwat di dewan Politeknik Seberang Perai.

Wakil media tidak dibenarkan membuat liputan walaupun dibenarkan berada di dalam dewan.

Turut kelihatan, Adun Pulau Betong Muhamad Farid Saad dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Kira-kira jam 11.30 malam, Dr Afif dan polis meminta kedua-dua kumpulan bertenang dan bersurai.