• Wakil rakyat 'Eddie Ng' leka main judi?
1 / 1
BALAKONG – “Saya masih tengah fikir di mana tempat dan bila waktu gambar itu diambil,” demikian komen Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berikutan tersebarnya gambar mirip wajah beliau sedang leka berjudi di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Wakil rakyat berusia 37 tahun yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Cawangan Taman Indah itu berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk memikirkan perkara berkenaan.

Mengakui ia mula tersebar dan ada menerima gambar tersebut dari seorang kenalan dua hari lalu, Eddie Ng bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tak boleh kata gambar tu tak benar sekarang, saya kena fikir balik. Kena tunggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh ketika ditanya Sinar Harian berkenaan isu ini, hanya menjawab ringkas.

“Saya tak ada komen berkenaan hal ini," katanya.

Hannah juga enggan memberi maklum balas terhadap pertanyaan tindakan bakal dikenakan kepada mana-mana wakil rakyat yang melakukan tidak bermoral.

Semalam ruang alam maya ‘kecoh’ dengan penyebaran gambar mirip wajah wakil rakyat daripada parti DAP itu di laman sosial yang turut mengejutkan banyak pihak.

Terdapat tiga individu dalam gambar berkenaan, dua dalam keadaan duduk manakala seorang yang berdiri dikenali mirip wajah Adun Balakong itu.

Dalam gambar tersebut tertera ‘beliau’ memakai baju kemeja berwarna putih dengan beberapa butang tidak dikenakan dipercayai sedang bermain daun terup.

Selain minuman keras, terdapat kepingan wang kertas atas meja dalam gambar yang dikatakan mula tersebar jam 1.33 tengah hari, Jumaat lalu.