• Azmin nafi jumpa Dr M di London
1 / 1
SHAH ALAM – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengingatkan semua pihak berkaitan supaya tidak melayan fitnah mengatakan beliau bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di London.

Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, beliau menafikannya.

“Usah terpengaruh dengan fitnah blogger.

“Kita bawa politik baru, politik nilai dan keharmonian demi rakyat,” katanya.
Ditanya sama ada beliau kini berada di London, Mohamed Azmin enggan mengulas lanjut.

Kelmarin, Raja Petra Kamarudin menerusi portal Malaysia Today menulis beliau dihujani pertanyaan sama ada bertanggungjawab mengatur pertemuan antara Dr Mahathir, Mohamed Azmin dan seorang anak lelaki bekas perdana menteri itu.


Dalam tulisannya itu, beliau menyebut pertanyaan itu dibuat apabila sebuah portal didakwa menyebarkan berita pertemuan mereka yang dikatakan diadakan di London.


Beberapa ahli Pas, PKR, Umno dan Perkasa didakwa turut menyertainya bagi membincangkan kesatuan Melayu.


Raja Petra menjelaskan beliau turut menghubungi beberapa penyokong kuat menteri besar itu untuk pengesahan tetapi mereka mendakwa tidak mengetahui perkara itu.


Dakwa Raja Petra, penyokong kuat PKR itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pertemuan itu diadakan, namun berharap ia tidak benar kerana mendakwa boleh menjejaskan karier politik Mohamed Azmin.