• Sirul masih enggan beri kenyataan
1 / 1
KUALA LUMPUR - Penantian media selama dua jam bagi mendengar pendedahan bekas ahli Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar hampa apabila beliau enggan memberi sebarang kenyatan mengenai kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Sharibuu.

Dalam satu telesidang yang diaturkan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar hari ini, Sirul berkata beliau akan membuat kenyataan pada masa yang sesuai.

"Saya amat berterima kasih dengan kerajaan Australia yang telah beri perlindungan sepenuhnya kepada saya. Termasuk menyediakan tempat yang saya kira selamat dan juga selesa.

"Saya menghormati sepenuhnya pemerintahan kerajaan Australia dan saya tidak berhasrat buat kenyataan pada masa ini. Walau bagaimanapun, saya akan cuba membuat satu kenyataan lain pada masa yang sesuai," katanya dalam sidang media kedua di Ibu Pejabat Pas, hari ini.

Selepas itu, Sirul mengucapkan "terima kasih" dengan suara yang sebak dan meletakkan telefonnya tanpa mengambil sebarang soalan daripada wartawan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pas 'bawa' Sirul secara langsung dari Australia ]

Telesidang yang sepatutnya diadakan pada jam 11.33 pagi tadi tidak diadakan selepas Mahfuz tidak dapat menghubungi Sirul walaupun percubaan dibuat sebanyak 15 kali selama kira-kira 40 minit.

Bagaimanapun, pada jam 1.10 petang, Mahfuz kemudian berjaya mendapat panggilan telefon daripada Sirul.