• Hudud
1 / 1
SERDANG - Dewan Ulama Pas tidak akan menerima sebarang alasan dari mana-mana pihak yang mahu menolak pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, ini termasuklah arahan dan ugutan daripada DAP agar isu hudud tidak dibangkitkan dalam PRU14.

“Ulama akan teruskan hudud kerana ia arahan dari ALLAH SWT bukan dari DAP. Kenapa kita perlu ikut DAP kerana dasar mereka lain iaitu mahu ke Putrajaya.

“Kita memang mahu menang tetapi bukan sekadar menang. Ulama tidak terima apa alasan (tolak hudud) kerana kita perlu tegakkan arahan ALLAH SWT,” katanya ketika berucap di Multaqa Ulama Semalaysia II bertemakan Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulama, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sebarang tanggapan bahawa Pas tergesa-gesa mahu melaksanakan hudud juga tidak benar kerana rang undang-undang tersebut telah diluluskan di Dun Kelantan pada 1993.

“Perjuangan untuk hudud sudah lama iaitu sejak Pas ditubuhkan lagi. Malah, sebelum diluluskan di Dun Kelantan kita sudah mendapatkan pelbagai pandangan.

“Hasrat kita yang penting ialah hudud dibawa ke Parlimen. Sama ada diterima atau tidak, yang penting kita sudah bawa dan bentang di Parlimen,” katanya.

Menurut beliau lagi, tahaluf siyasi yang dijalin dengan PR juga bukan jaminan pembangkang akan memenangi Putrajaya.

“Kita akan semak semula tahaluf siyasi dan jika ikut syarat, kita akan teruskan. Jika mahu batalkan ada prosedur yang perlu diikut, bukan dalam muktamar sebegini.

“Namun, kita asyik diasak untuk menang ke Putrajaya. Ingat, mahu menang bukan kerana tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP tetapi dengan izin ALLAH,” katanya.

Sementara itu, Mahfodz turut menepis tuduhan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat menubuhkan kerajaan perpaduan dengan BN.

Sebaliknya, menurut Mahfodz, idea tersebut dibincangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan BN yang disahkan sendiri oleh anak beliau, Nurul Izzah.

“Abdul Hadi sudah tegaskan dalam muktamar lalu bahawa kita akan terus kukuhkan PR.

“Tapi yang peliknya Abdul Hadi yang dimaki hamun dan Anwar pula tidak diapa-apakan,” katanya.

Menyentuh mengenai pembabitan ahli Pas dalam Pasma, beliau menyarankan agar mereka keluar parti dan menubuhkan parti lain.

“Kita dah panggil Pasma dan tanya matlamat mereka. Mereka cakap Pasma ditubuhkan untuk kukuhkan PR.

“Tetapi ahli Pasma ini telah menghina pimpinan ulama. Mereka boleh dianggap musuh dalam selimut dan lebih baik mereka keluar dan tubuhkan parti lain,” katanya.