• Muhammad Shafee Abdullah, Anwar Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM – Peguam bela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneliti kenyataan yang dikeluarkan ketua pendakwa raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam pendedahan kes liwat Anwar kepada umum.

Peguam bela Anwar yang juga Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, mereka kini menunggu arahan Anwar sama ada untuk mengambil tindakan jika Muhammad Shafee didapati melanggar etika guaman atau menghina mahkamah.

“Langkah pertama ialah kami akan buat aduan kepada Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara. Ia adalah satu badan yang menjaga disiplin dan etika antara peguam.

“Kalau ada aduan seorang peguam melanggar tata etika, lembaga itu akan siasat aduan tersebut. Tindakan seterusnya kami akan buat selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas tindakan Muhammad Shafee yang mendedahkan secara terbuka maklumat sulit dalam perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan serta terlibat dalam jelajah penerangan kes itu termasuk yang dianjurkan Pemuda Umno.

Sivarasa berkata, Muhammad Shafee dalam satu dialog anjuran Pemuda Umno, Selasa lalu didapati menceritakan butiran kes yang dibicarakan secara tertutup semasa kes itu.

“Bagi saya, beliau langgar larangan mahkamah kerana keterangan disebut dalam keadaan tertutup dalam mahkamah, jadi apabila dibawa keluar (kepada umum) ia dianggap salah,” katanya.

Tegasnya, Muhammad Shafee boleh dikenakan tindakan seperti denda, penggantungan dan pembatalan lesen sekiranya didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara.

Kata Sivarasa, apabila seseorang peguam dilantik sebagai pendakwa raya, peguam tersebut perlu menjalankan kes secara bebas.

“Selepas keputusan penghakiman, apabila Muhammad Shafee kemungkinan terlibat dalam jelajah begini, timbul persoalan yang beliau sudah melanggar tata etika peguam. Ia seolah-olah Muhammad Shafee mempunyai kerjasama dengan Umno.

“Jelas sekarang ini seperti beliau diperalatkan Umno untuk fitnah Anwar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela Anwar yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, jelajah Pemuda Umno itu sebagai tindakan terdesak memandangkan rakyat masih percaya Anwar tidak bersalah dan menjadi mangsa fitnah.

Beliau menegaskan pasukan peguam Anwar tidak akan terlibat sebarang debat sebaliknya mengambil tindakan undang-undang ikut keadaan.