• Bukan... ayah masih Duta Perancis Muhammad Asyari bersama Ismail baru-baru ini.
1 / 1
SHAH ALAM - “Saya terima banyak panggilan telefon tanya ayah!” kata anak sulung kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Muhammad Amsyari.

Dia berkata demikian selepas Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini menjadi tumpuan media apabila nama seorang individu Ismail Omar terpampang di papan kenyataan mahkamah serupa nama bapanya menghadapi pertuduhan khalwat.

Pada mulanya, dia berasa pelik kenapa panggilan begitu bertalu-talu tanyakan di mana ayah.

“Ada rakan media, ada juga saudara mara. Apabila saya tanya kenapa?.. pada mulanya mereka ‘agak’ malu menjelaskan sebab tanya di mana ayah, kemudiannya salah seorang lagi kata nama ayah ada di mahkamah syariah.

“Adakah benar Tan Sri kena tangkap khalwat? Kami sedang tunggu di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Muhammad Amsyari berkata, ayahnya kini berada di Paris kerana masih lagi Duta Besar Malaysia ke Perancis selepas menerima watikah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 13 September 2013 lalu.

Ismail merupakan Ketua Polis Negara ke sembilan yang bersara wajib pada 17 Mei 2013 selepas menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

Kini jawatan berkenaan disandang Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sementara itu, Ismail ketika dihubungi Sinar Online dari Perancis hanya ketawa apabila mendapat tahu berita itu.

Katanya, bukan beliau yang dimaksudkan.

“Itu orang lain, bukan saya,” katanya.