• Kes liwat: Menteri tak tahu qazaf terpakai Fariz Musa pada sidang media di Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PETALING JAYA - NGO Jingga 13 menegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung soal perundangan syariah di negara ini.
 
Ketua Koordinatornya, Fariz Musa mendakwa kenyataan Jamil Khir yang menyatakan bahawa qazaf itu hanya untuk menuduh orang melakukan zina dan tidak terpakai kes liwat itu seolah-olah cuba memperkecilkan skop serta peranan Mahkamah Syariah.
 
"Kenyataan tersebut jelas menunjukkan beliau tidak pernah mengetahui bahawa telah wujud satu resolusi yang telah dicapai oleh Klinik Hukum Syarie dan Guaman Syarie, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung perkara itu bertarikh 18 Ogos 2008.
 
"Sepatutnya perkara ini disiasat terlebih dahulu oleh pihak Jabatan Agama di mana aduan itu dibuat dan seterusnya dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan," katanya pada sidang media di Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jamil Khir semalam yang mengatakan undang-undang Islam berkaitan qazaf hanya terpakai untuk perlakuan zina.
 
Katanya, mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, dan Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, qazaf adalah berkaitan tuduhan orang melakukan zina.
 
Mengikut resolusi tersebut, walaupun Seksyen 41 tidak menyebutkan liwat namun ia termasuk dalam kategori zina.
 
"Menurut Hukum Syarak berdasarkan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 130(2) yang menyebut bahawa jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.
 
"Mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan liwat sama ada secara paksa atau kerelaan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang cukup syarat atau pengakuan tertuduh adalah dikira sebagai tuduhan qazaf sebagaimana dalam Seksyen 41, Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," kata resolusi tersebut.