• Tan Sri Pandikar Amin Mulia Tan Sri Pandikar Amin Mulia
1 / 1
KUALA LUMPUR - Status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen pengampunan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin berkata, beliau hanya boleh mengemukakan pemberitahuan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan Ahli Parlimen Permatang Pauh mula berkuat kuasa mengikut perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana petisyen pengampunan diraja oleh keluarga Anwar itu telah difailkan di bawah perenggan (c), Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka sesuatu kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan oleh Yang di-Pertuan Agong, katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Pandikar Amin mengesahkan telah menerima sesalinan petisyen bagi suatu pengampunan pada hari ini yang difailkan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Petisyen pengampunan itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. 

Pada 10 Februari lepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Anwar, 67, setelah menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, kini berumur 30 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - Bernama