• Nazir Hussin Akhtar Hussin
1 / 1
KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya wajar membuka mata semua pihak terutama penyokong tegarnya agar tidak terus ditipu oleh lakonan ketua pembangkang itu.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, keputusan itu telah membuktikan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti seks luar tabii namun masih ada yang tidak boleh menerima kenyataan itu.

Beliau berkata, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh 'orang jahat' masih dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat.

"Dalam kes Liwat II ini, rakyat kena buka mata, kena bijak menilai dan rajin membaca fakta. Lima hakim Mahkamah Persekutuan sudah buat keputusan bahawa Anwar bersalah, tetapi masih ada yang menyalahkan kerajaan kononnya mahu menjatuhkan Anwar.

"Ramai yang tidak kenal siapa Anwar sebenarnya sehingga sanggup membuat tuduhan semborono. Negara kita menuju negara maju, pemikiran rakyat juga mestilah seiring dengan kemajuan itu, bukannya percaya dengan pembohongan pembangkang," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Titiwangsa berkata, apa yang dilakukan Anwar itu mungkin tidak salah jika beliau tinggal di negara barat tetapi di Malaysia, liwat adalah perbuatan jenayah dan keji.

"Cukup-cukuplah menyokong secara membabi buta dan terpedaya dengan sandiwara Anwar. Baca hujah hakim mengapa Anwar dikaitkan dengan kesalahan itu. Anwar turut diberi peluang untuk membela diri, malangnya beliau tidak berbuat demikian," katanya.

Mengenai tuduhan bahawa ini adalah kerja Umno, Nazir Hussin berkata, ALLAH memberi manusia akal dan fikiran untuk menilai sesutu perkara itu dengan sebaik-baiknya.

"Kenapa Anwar tidak mahu bersumpah seperti mana dilakukan Saiful Bukhari? Kenapa Anwar enggan memberi sampel DNA beliau? Malah Anwar juga tidak mahu disoal balas oleh peguam selain cuba menangguhkan perbicaraan beberapa kali

"Berdasarkan fakta-fakta itu, sudah nyata bahawa tiada sebarang campur tangan politik dalam kes tersebut apalagi membabitkan Umno. Kalaulah Mahkamah Persekutuan kata Anwar tidak bersalah, barulah adil agaknya," katanya.

Beliau berkata, kalau kita asyik mengata orang itu mengata orang ini, akhirnya kebenaran akan ditunjukkan juga.

"Ia adalah balasan tuhan kepada Anwar. ALLAH tunjuk siapa Anwar secara sikit-sikit," katanya.

Nazir juga berkata, pihak yang berkaitan perlu menyediakan maklumat atau sumber rujukan mengenai kes Anwar ini terutama bagi masyarakat di luar bandar agar mereka boleh faham apa sebenarnya berlaku.

"Ini bagi mengelakkan kes ini dimanipulasi pemimpin pembangkang terutama anak Anwar sendiri, Nurul Izzah yang dan Rafizi Ramli yang gemar menyebar fitnah untuk memesongkan pemikiran rakyat," katanya.