1 / 1
BANGI - Semua pihak perlu menerima keputusan Mahkamah Persekutuan esok berhubung rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabit Mahkamah Rayuan atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana negara ini ditadbir mengikut undang-undang dan semua pihak perlu menerimanya.

"Negara ini ditadbir oleh undang-undang. Biarlah sistem perundangan yang menentukannya. Saya tidak ada apa-apa ulasan tentang perkara ini. Apa jua yang mereka putuskan, kita perlu terima," katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung sebarang kemungkinan melibatkan keputusan rayuan ketua pembangkang itu, di sini hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, perlu menerima hukuman sekiranya bersalah.

"Tidak bermakna apabila anda seorang pemimpin besar, anda lakukan jenayah, anda tidak boleh dihukum. Kita semua sama di sisi undang-undang. Jika anda melakukan sesuatu kesalahan, anda perlu dihukum dengan cara yang sama," katanya.

Kepada orang ramai yang mengikuti perkembangan kes Anwar, Dr Mahathir berkata, mereka juga perlu menerima sebarang keputusan yang ditetapkan.

"Jadi kalau mahkamah berpendapat dia tak salah kita terima sajalah," katanya.

Esok, Anwar yang disabitkan oleh Mahkamah Rayuan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, akan tahu sama ada beliau akan meringkuk di tirai besi atau bebas.

Ini akan terjawab apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu berhubung rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya itu, tujuh tahun lepas.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama