• Hadi Awang Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat, tindakan mengadakan sidang media sejurus selepas selesai mesyuarat Majlis Pimpinan PR tanpa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam sebagai satu strategi bagi mengelakkan keadaan bertambah rumit.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, tindakan itu bagi menghindarkan Abdul Hadi daripada dikemukakan soalan berhubung kemelut dalaman PR melibatkan hukum hudud dan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih belum selesai.

“Itu strategi untuk elak daripada ditanya kepada Hadi dalam usaha untuk tidak merumitkan lagi masalah mereka. Jadi, cara terbaik adalah memastikan Hadi tidak tampil dalam sidang media itu.

“Kalau tidak, sudah pasti wartawan akan kemukakan pelbagai soalan kepada Hadi. Ini bukan saja menyulitkan Hadi tapi juga kepada PR. Itu strategi yang betul sebab isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mengulas soal penangguhan perbincangan isu hangat itu, Dr Jeniri berkata, PR tetap perlu berdepan dengan isu itu tanpa ada ruang untuk mengelak kelak.

“Semalam mereka tangguhkan isu itu untuk dibawa ke mesyuarat akan datang. Tapi saya percaya penangguhan itu merupakan satu strategi politik untuk meredakan keadaan sementara waktu.

“Tapi itu hanya strategi untuk jangka pendek sahaja. Mereka tidak boleh mengelak. Sampai bila mereka nak mengelak? Sampai bila Pas dan DAP ini dapat mengelak daripada masalah besar yang boleh merenggangkan hubungan mereka?

“Pada akhirnya, mahu atau tidak mereka terpaksa selesaikan masalah besar ini yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan Pas dan DAP khususnya,” katanya.

Sementara Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sidang media tanpa Abdul Hadi itu memberi pelbagai isyarat kepada umum.

“Kalau ikutkan kenyataan Anwar, Hadi ada mesyuarat lain. Tapi, itu memberikan pelbagai isyarat kepada umum. Jadi, sudah pasti jika kita melihat secara negatif, ia boleh memberikan implikasi seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat semalam.

“Kita lihat semuanya telah duduk semeja dalam mesyuarat namun perincian kepada perbincangan itu masih kurang jelas. Apakah itu yang menyebabkan Hadi meninggalkan sidang media, mungkin kena tunggu kenyataan Hadi,” katanya.

Beliau turut tidak menolak Abdul Hadi perlu menjelaskan kepada umum khususnya pengikutnya sendiri bagi mengelakkan salah faham.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menyifatkan keputusan untuk menghadiri atau tidak sidang media itu terpulang kepada Abdul Hadi.

Katanya, ia lebih kelihatan molek jika Abdul Hadi turut serta dalam sidang media berkenaan.

“Saya rasa itu hak dia (Abdul Hadi) nak pergi atau tidak sidang media tersebut. Tapi apabila mereka tidak duduk semeja ketika mengeluarkan kenyataan itu, nampak tak moleklah untuk menunjukkan kesepakatan dalam PR.

“Sebab imej itu penting. Kalau Hadi ada dalam sidang media itu, lebih molek,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan pulang lebih awal sebelum Majlis Pimpinan PR mengadakan sidang media di Pejabat Agung Pas selepas mesyuarat PR itu selesai.