• Prof Dr. Ramasamy Palanisamy Prof Dr. Ramasamy Palanisamy ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea bersama pimpinan PR di Kuil Taman Sutera, Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PERMATANG PAUH - Komuniti Kuil Taman Sutera Seberang Jaya hari ini berasa sedih apabila calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak muncul pada majlis hi-tea yang dijadualkan jam 6.30 petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr. Ramasamy Palanisamy yang mewakili komuniti India di situ berkata, kehadiran Wan Azizah penting untuk memperjuangkan permintaan mereka memindahkan kuil sedia ada ke lokasi baharu.

"Mungkin dia sibuk, seronok kalau dia hadir, kalau dia tidak hadir, mungkin dia ada perkara yang lebih sibuk.

"Cuma, sedikit sedih, biasalah ni, kalau tunggu pemimpin tidak datang, dia rasa macam sedih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea bersama pimpinan PR di Kuil Taman Sutera Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy berjanji kepada komuniti India tersebut untuk membawa perkara itu ke perhatian Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

"Mereka rasa sedikit tidak senang, tidak mengapa, saya akan minta Dr. Afif yang juga Adun Seberang Jaya menyelesaikannya.

"Saya menyokong supaya mencari tempat alternatif untuk kuil hindu ini," ujarnya.

Ditanya mengenai sokongan pengundi kepada Wan Azizah pada PRK Permatang Pauh, beliau bagaimanapun optimis jumlah keluar mengundi akan mencecah sehingga 80 peratus.

"Kenapa adakan (mengundi) pada hari Khamis, kenapa tidak adakan pada hari Sabtu atau Ahad, mereka akan hadir akan kurang, ini bermakna PR pun akan dapat undi yang kurang," katanya lagi.