Cina belum tentu sokong BN
LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke
China tahun lalu, dengan kejayaan menarik banyak projek pelaburan belum
tentu disambut baik oleh masyarakat Cina di Malaysia.
Demikian dinyatakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
ketika diwawancara oleh akhbar-akhbar Cina tempatan, baru-baru ini.
Menurut Muhyiddin seperti dilaporkan Sin Chew Jit Poh, Najib memang
telah membawa balik perjanjian pelaburan bernilai RM144 bilion dari
China, namun pengundi Cina tidak semestinya akan memberikan sokongan
yang kuat kepada BN pada PRU14.
"Saya ada ramai kawan Cina yang memperkatakan isu ini. Mereka semuanya
tidak setuju kedatangan syarikat-syarikat China membuat projek di negara
kita kerana jika kerajaan beri peluang, usahawan-usahawan tempatan juga
berupaya membina Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan Bandar
Malaysia," kata Muhyiddin.
Beliau percaya, pengundi Cina akan terus memberi sokongan kuat kepada
parti pembangkang pada PRU14 walaupun Najib cuba mengadakan hubungan
perniagaan dengan China.
Selain masyarakat Cina, bekas timbalan perdana menteri itu berkata,
masyarakat Melayu juga tidak senang hati dengan kedatangan syarikat
China ke Malaysia kerana boleh menjejaskan periuk nasi mereka.
"Jika semua projek diperoleh syarikat-syarikat China, mereka tentu akan
mengambil pekerja dan bahan-bahan pembinaan dari China, ini bermakna
rakyat di negara kita tidak akan mendapat sebarang faedah," katanya.
Beliau turut mendakwa, pelaburan bernilai RM144 bilion itu sebenarnya
bukan diperoleh oleh negara, sebaliknya adalah jumlah pinjaman daria
China untuk menjelaskan hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
0 orang berkata:
Post a Comment