MARANG - Pas lebih selesa untuk menjadi pihak yang berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 dan tidak boleh bersama Harapan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana di dalam Harapan ada pemimpin penyangak, yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak menyebut pemimpin yang dimaksudkannya itu.

"Pas tidak boleh memberi harapan kepada Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

"Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan Pas," katanya kenyataan medianya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pas juga tidak boleh bersama kerajaan BN iaitu pihak yang sentiasa dituduh oleh pembangkang, sehinggalah dibuktikan bersihnya atau kesalahannya.

"Kaedah kehakiman Islam yang dipakai oleh Barat, menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.

"Pas juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang diwarisi sejak pemimpin yang dahulu dan terdahulu," katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas percaya bahawa rakyat yang mahu menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya itu sedang menghadapi krisis keyakinan bagi menentapkan hukumannya kepada siapa hendak dihukum atau dipersalahkan.

“Dalam keadaan penyakit politik wang yang menimpa rakyat dan menimpa Umno yang sedang memerintah, yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu dan selepasnya.

"Dan kini tidak mudah untuk diubati, namun tidak ada penyakit yang tidak ada ubat yang wajib dicari selagi belum mati, maka ikhtiar hendaklah diteruskan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi turut memuji sikap ditunjukkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Ucapan YB Datuk Husni Hanzalah, Ahli Parlimen Tambun menggambarkan betapa krisis keyakinan berlaku sehingga beliau meletakkan jawatan daripada Kabinet.

"Kerana ada masalah dalam kerajaan sejak dahulu dan betapa saksi yang fasik atau yang tidak nyata adilnya menjadikan beliau tidak boleh dipancing oleh pembangkang yang bertemakan Harapan, yang tidak boleh diberi harapan.

"Namun, beliau bersikap mengikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan.

"Namun tidak mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak bersopan. Berbeza dengan Pas yang menjadi pembangkang yang menasihat, namun sama-sama berpegang kepada konsep nasihat di mana sahaja seseorang itu berada," katanya.

Menurutnya, ketegasan Pas itu bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata sempurna yang tidak ada dalam ideologi atau teori ciptaan manusia.

"Maka Pas tidak boleh terikut dengan pihak yang lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang berbeza dasar dan hala tujunya. Pas boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan hala tuju wawasannya yang berkekalan," katanya.

Beliau berkata, Pas berusaha mendapat keyakinan rakyat dengan tegas kepada keyakinan Pas sendiri berpegang kepada Islam, disertakan hujah yang diucap, yang tersurat dan tersirat dengan ikhlas yang diketahui ALLAH.

"Pas beramal dengan kemampuan kemenangannya di Kelantan sehingga kini dan ketika Pas memimpin Terengganu dan Kedah yang boleh dibuat perbandingan oleh semua pihak dengan mereka yang juga memerintah mengikut bidang kuasanya.

"Pas tidak pernah jatuh dan kalah kerana kesilapan dasarnya, tetapi dijatuhkan oleh pihak lain yang bertembung dengan dasarnya, bahkan sehingga kini Alhamdulillah, tidak ada seorang pun yang dipanggil SPRM," katanya.