Salam Palestin,
Alhamdulillah, saya mendapat maklumat daripada sumber yang terpercaya
bahawa mengikut tinjauan yang baru saja diadakan, majoriti peniaga dan
masyarakat non muslim di Kota Bharu sudah cukup selesa dengan peraturan
kedai gunting dan salon yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan
sebagaimana disyaratkan MPKB.
Para peniaga non muslim merasa lebih beruntung kerana hampir semua
pengunjung wanita Islam akan melanggani perkhidmatan mereka dengan
selesa tanpa ragu-ragu dengan kehadiran kaum lelaki. Jika sebaliknya,
mereka mungkin mengalami kemerosotan pelanggan wanita Islam.
Bahkan, mereka juga sebagaimana yang telah dinyatakan oleh YB Dato
Takiyudin Hasan, exco kerajaan negeri semalam, merasa lebih selesa
apabila keluarga dan wanita mereka akan melanggani pusat kecantikan
tersebut tanpa kaum lelaki yang kehadiran mereka sedikit pun tidak
dianggap satu keperluan di premis berikut (kecuali gatal sangat mahu
didandan rambut mereka oleh wanita.).
Perlu difahami, peraturan ini bukanlah undang-undang Islam, tetapi peraturan sivil yang berlandaskan panduan syariat ugama.
Agama Islam menyeru kepada keselamatan dan kehormatan wanita. Ia
menyeru kepada usaha mencegah eksploitasi wanita dan menutup ruang-ruang
ke arah maksiat dan kemungkaran. Adalah jelas berdasarkan kajian
lapangan di seluruh negara, pusat-pusat kecantikan wanita sering menjadi
topeng kepada operasi dan kegiatan eksploitasi dan tidak bermoral
terhadap wanita.
Sesuai dengan masyarakat Kelantan yang majoriti besarnya adalah
muslim, di samping masyarakat non muslimnya yang begitu tahu,
menghormati dan selesa dengan peraturan-peraturan ‘Islamik’ yang
diperkenalkan, adalah wajar sekali peraturan seperti di atas dijadikan
panduan dan kajian ke arah melahirkan masyarakat madani/sivil yang
menghormati martabat kaum wanita.
Malang sekali bagi sesetengah pihak, muslim atau bukan muslim, yang
menjadikannya sebagai bahan perlecehan dan serangan atas nama hak-hak
asasi dan kebebasan. Isteri mana selesa melihat suaminya diusap tangan
wanita?
Ini, apatah lagi, wanita non muslim di Kelantan juga sudah cukup
selesa dengan pengharaman premis judi dan penghadan penjualan arak di
Kelantan. Mereka perlukan suami yang bertanggung jawab, tidak pulang ke
rumah lewat malam, mabuk dan berang terhadap mereka dan anak-anak di
rumah.
Bukankah ini satu kehidupan yang aman dan sejahtera? Bukankah inilah transformasi dan reformasi masyarakat sivil yang gemilang?
Walau bagaimanapun, saya amat sukacita jika ianya dibincangkan secara
sihat. Mana tahu, ia semakin membuka mata kita untuk melihat
kesempurnaan panduan agama Islam yang semakin diterima dengan baik hari
ini. Usaha penambahbaikan amat dialu-alukan.
Sehingga kini, tiada yang menentangnya kecuali yang keras kepalanya, luar dan dalam.
0 orang berkata:
Post a Comment