• Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Kamarul Bahrin Shah ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen, semalam. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kerajaan disarankan agar mengkaji secara khusus mengenai struktur pembinaan bangunan di Terengganu supaya kejadian runtuh dan rosak yang sehingga kini mencecah 16 kes tidak berulang lagi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kes runtuh terus berlaku dan tidak dapat diselesaikan.

"Ini sejarah yang memalukan dan menggemparkan, bangunan yang paling besar runtuh adalah bumbung stadium Terengganu.

"Sekiranya berlaku runtuhan, kerajaan terus mahu buat siasatan, tapi empat tahun lagi mungkin ada yang runtuh lagi kerana kerajaan seperti tidak belajar daripada apa yang berlaku," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat kejadian runtuh itu berlaku sebenarnya melibatkan soal moral pihak berkuasa dalam mengawasi pembinaan projek.

"Pengawasan di tapak amat lemah dan banyak kerosakan boleh dielakkan.

"Profesional-profesional yang berkelayakan sepatutnya mengawasi kerja tidak diberi tanggungjawab di tapak pembinaan.

"Peraturan-peraturan profesional dan jabatan kawalan ada kalanya tidak diikuti dan dipatuhi menyebabkan kelonggaran dan kerendahan faktor-faktor keselamatan dan mutu pembinaan," ujarnya.