Hudud, Syiah, tahaaluf siyasi dibangkit perwakilan
SHAH ALAM - Muktamar Dewan Ulama Pas yang berlangsung hari ini panas
apabila isu seperti hudud, Syiah dan 'tahaaluf siyasi' iaitu kerjasama
politik dalam pakatan Pas-PKR-DAP dibangkitkan ramai perwakilan.
Jelas, isu-isu yang dibangkitkan di muktamar Dewan Ulama mendapat
perhatian penuh 600 anggota perwakilan yang datang dari kira-kira 150
kawasan seluruh negara.
Berhubung hukum hudud, seorang perwakilan, Siddiq Nor mendedahkan
kepada umum bahawa ada di kalangan pemimpin Pas yang tidak yakin dengan
pelaksanaan hukum hudud, yang menjadi asas perjuangan parti itu selama
ini.
Tanpa menamakan pemimpin berkenaan, beliau berkata terdapat juga
pemimpin yang tidak mahu Pas berbicara mengenai hukum hudud di khalayak
umum kerana dikhuatiri akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti
itu.
"Macam mana kita nak meyakinkan orang bukan Islam tentang hukum hudud
kalau ada di kalangan pemimpin kita sendiri tidak yakin dengan hudud dan
ada yang tidak mahu hudud disebut kerana nanti orang tak undi parti?
Bagaimana kita hendak menang kalau kita sendiri tidak yakin dengan hukum ALLAH?" katanya semasa sesi perbahasan di sini, hari ini.
Bagaimana kita hendak menang kalau kita sendiri tidak yakin dengan hukum ALLAH?" katanya semasa sesi perbahasan di sini, hari ini.
Perwakilan turut bertindak berani apabila mendesak Pas melakukan
tinjauan di negara-negara yang melaksanakan hudud seperti Brunei
memandangkan Enakmen Jenayah Syariah II yang melibatkan hukum hudud,
telah pun diluluskan di Kelantan pada 1993, tetapi sehingga kini ia
masih tidak dilaksanakan.
"Saya ingin tahu, bilakah kita akan meninjau pelaksanaan hudud di
Brunei untuk melihat adakah hudud yang dilaksanakan sama seperti yang
ingin kita laksanakan," kata perwakilan yang memperkenalkan dirinya
sebagai Nordin.
Pada 22 Oktober lepas, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan
penguatkuasaan hukum hudud di Brunei, termasuk melaksanakan hukuman
potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Perwakilan dari Perak Suhaimi Abdul Wafiq pula mendesak mana-mana
pemimpin Pas yang terpalit dengan segala aktiviti Islam liberal dan
pluralisme agar menafikan penglibatan mereka secara telus dan terbuka.
"Pas sebagai parti yang memperjuangkan dasar dan pemikiran Islam,
wajiblah menghadapi Islamic Renaissance Front (IRF) ini dengan tegas.
Ketetapan perlu dibuat agar tiada pimpinan Pas didakwa terbabit dengan Islam liberal dan pluralisme yang didukung IRF.
Ketetapan perlu dibuat agar tiada pimpinan Pas didakwa terbabit dengan Islam liberal dan pluralisme yang didukung IRF.
"Kita menghendaki pemimpin-pemimpin terlibat untuk menarik balik
sokongan moral kepada Islam liberal dan pluralisme terutama yang
didukung oleh IRF," katanya.
Turut mendapat perhatian perwakilan ialah Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST), apabila Azhari Yaakob mendakwa cadangan Kerajaan
Persekutuan melaksanakan GST bercanggah dengan prinsip percukaian Islam
dan mendesak kerajaan menarik balik keputusan untuk melaksanakannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet
2014 mengumumkan GST yang dikenakan pada kadar enam peratus akan
dilaksanakan pada April 2015.
Dalam pada itu, perwakilan turut membangkitkan hubungan kerjasama
(tahaluf siyasi) antara PKR dan DAP, yang antara lain mendesak supaya
diwujudkan jawatankuasa mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan
kelemahan pakatan itu serta mewujudkan mekanisme penyelarasan dasar bagi
negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.
Turut dibangkitkan ialah isu pengembangan fahaman-fahaman lain termasuk
Syiah yang dikatakan tidak sepatutnya menjadi pegangan kepada mana-mana
anggota Pas.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Nik Muhammad Zawawi Salleh
berkata satu unit audit syariah bakal ditubuhkan dan diletakkan di bawah
Majlis Syura Ulama bagi memantau sebarang fahaman termasuk Syiah.
"Mana-mana ideologi yang boleh menjejaskan imej jemaah akan kita pantau termasuk Syiah yang menyeleweng," katanya.
Muktamar Dewan Ulama hari ini turut bersetuju menerima usul Pas
Terengganu berhubung jawatan presiden, timbalan presiden dan seorang
naib presiden mestilah daripada kalangan kepimpinan ulama, tanpa bahas.
Muktamar tahunan Pas kali ke-59 dimulakan dengan muktamar peringkat
Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang berlangsung semalam manakala Dewan
Ulama hari ini. Muktamar kali ini turut menyaksikan pemilihan saf
kepimpinan parti itu. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment