• Harun Taib  
  • Datuk Harun Taib
1 / 1
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas menyatakan akan "memaafkan" Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung isu gesaannya terhadap pendaftaran pertubuhan dan parti politik berasaskan agama dan kaum termasuk Pas.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib berkata, kemaafan itu diberikan ekoran menyifatkan Karpal sebagai seorang yang jahil dalam agama Islam.

Beliau juga berkata, tidak pernah dukacita terhadap kenyataan pemimpin nombor satu DAP itu.

"Saya sudah bercakap banyak kali, saya tak berdukacita dia bercakap demikian, sebab Karpal Singh tidak memahami Islam.

"Macam mana kita nak kutuk  dia (Karpal) tak faham lagi, kita bertahaaluf dengan DAP dan PKR ini kerana kita bertujuan untuk berdakwah mereka dan boleh faham Islam.

"Jadi Karpal Singh ini belum sempat lagi nak belajar Islam, jadi kita maaflah, kerana dalam Islam kata apabila orang jahil bercakap biar ke dia dulu, lawan orang jahil rosak kita," katanya pada sidang media, selepas selesai sesi penangguhan perbahasan usul Muktamar Dewan Ulama Pas ke-59, di sini, hari ini.

Sebelum ini, mengikut laporan media kenyataan Karpal telah mengundang rasa tidak senang kepada beberapa pemimpin Pas yang lain termasuk  Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan calon Naib Presiden Pas, Datuk Abu Bakar Chik.

Dalam perkembangan sama, Harun juga mendakwa Karpal juga telah memberi persepsi yang salah terhadap Pas yang berteraskan agama Islam.

"Dia ingat parti yang ditubuhkan berasaskan akan agama Islam ini akan menyebabkan berlaku perpecahan atau pergaduhan antara kaum sedangkan Islam itu diturun oleh ALLAH SWT untuk menyatukan semua kaum dan bangsa yang wujud atas dunia ini," ujarnya.