• Mumtaz Md Nawi 
  •  Mumtaz Md Nawi
1 / 1
SHAH ALAM - Dewan Muslimat Pas mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula modul undang-undang keselamatan negara berikutan peningkatan indeks jenayah di negara ini.

Penyandang Naib Ketua Dewan Muslimat, Mumtaz Md Nawi berkata, KDN perlu tegas melaksanakan penguatkuasaan itu.

Menurutnya, ia juga perlu dikaji berpandukan asas-asas agama, nilai murni dan moral.

"Sebenarnya jika kita menggunakan undang-undang Islam, pastinya dapat menyelesaikan masalah jenayah tersebut.

"Selagi kerajaan menggunakan kaedah yang sama dalam perundangan negara iaitu undang-undang konvensional yang digunakan negara Barat, maka isu ini tidak akan habis," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyokong usul mengenai keselamatan negara yang dibawa perwakilan Dewan Muslimat Pas Bahagian Temerloh, Sarah Ahmad, hari ini.

Mumtaz berkata, negeri di bawah PR dan Umno perlu bersatu untuk menyokong pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

"14 negara telah gunakan hukum ini dan terbukti kes jenayah mereka lebih rendah daripada negara menggunakan undang-undang konvensional," katanya.

Usul tersebut turut mendapat sokongan daripada perwakilan Dewan Muslimat Pas Bahagian Maran, Akmal Yusof yang mahukan isu keselamatan wanita diberi penekanan.

"Wanita bekerjaya yang bekerja di waktu malam sering terdedah dengan ancaman keselamatan seperti jenayah rompak dan ragut.

"Oleh itu, kami menyokong sepenuhnya usul perlaksanaan undang-undang keselamatan negara dikaji semula," katanya.

Sementara perwakilan Dewan Muslimat Pas Bahagian Ampang, Aminah Hasan turut menyokong 200 peratus usul tersebut kerana jenayah negara ini sudah di tahap membimbangkan.

"Kami lihat jenayah seakan sukar dikawal oleh pihak berkuasa apabila bukan sahaja isteri kehilangan suami tetapi anak juga kehilangan ayah. Perkara ini tidak boleh dibiarkan sahaja.

"Oleh itu, kami bertekad pada PRU14 nanti mesti merebut pemerintahan kerajaan Pusat. Jika tidak akan lebih ramai menjadi janda dan anak menjadi yatim," katanya.

Beliau juga menyokong usul tersebut di bawa ke peringkat lebih tinggi untuk dibincangkan.