• Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM – Ekoran sekatan ke atas beberapa istilah yang dikatakan menjadi hak milik orang Islam, Pas berpendapat kerajaan perlu memperkukuhkan akidah umat Islam bukan dengan sekadar menyekat penggunaan istilah-istilah tertentu.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mustahil bagi kerajaan untuk mengawal penggunaan istilah-istilah tersebut, terutama dalam perkembangan media baru yang pelbagai variasi.

“Isu utama ialah larangan yang dikenakan kepada bukan Muslim untuk menggunakan beberapa istilah yang terpakai bagi orang Islam seperti kalimah ALLAH, Insya ALLAH, Masya ALLAH, zikir, sembahyang dan sebagainya.

“Kenapa ia dilarang kepada bukan Muslim? Jawapannya kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan salah faham, kekeliruan dan akhirnya boleh menyebabkan umat Islam terpengaruh dan akhirnya keluar dari Islam.

“Namun persoalan utama apakah aqidah umat Islam di negara ini begitu rapuh, sehingga kerana beberapa istilah tersebut boleh membawa kepada murtad?,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tentang usaha kerajaan untuk memperkasakan akidah umat Islam.

“Jika benar (akidah rapuh), maka kerajaan mesti memperkukuhkan aqidah umat Islam dan bukannya dengan menyekat penggunaan istilah Islam di kalangan bukan Islam.

“Mustahil kerajaan dapat mengawal penggunaan istilah-istilah tersebut, terutama dalam perkembangan media baru yang pelbagai variasi. Sesiapa boleh sahaja menulis, menyebar dan menyalurkan maklumat dakyah mereka.

“Persoalan yang lebih utama ialah apakah usaha kerajaan untuk memperkasakan akidah umat Islam. Kenapa mata pelajaran akidah Islam tidak diwajibkan dalam seluruh sistem pendidikan Islam daripada tadika sehingga universiti?,” soalnya.

Menurutnya, mata pelajaran lain dilihat lebih penting berbanding mata pelajaran Pendidikan Islam.

“ Mengapa mata pelajaran lain dilihat lebih penting dari aqidah umat sehingga menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan utama tetapi tidak mata pelajaran Islam?

“Berapa jam diperuntukkan masa untuk pendidikan aqidah?  Berapa banyak pula masjid yang berfungsi dengan baik dengan pengajaran akidah di kalangan para jemaah?,” katanya.