• Chon Siang (kiri) melihat risalah syarikat gores dan menang untuk perdaya pelanggan yang keluar masuk ke pasar raya. Chon Siang (kiri) melihat risalah syarikat gores dan menang untuk perdaya pelanggan yang keluar masuk ke pasar raya.
1 / 2
KUANTAN – Tanpa penguatkuasaan yang ketat, hampir 30 jurujual syarikat gores dan menang terus berleluasa di parkir sebuah pasar raya di sini sejak sebulan yang lalu.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, apabila mendapat aduan daripada orang ramai kira-kira jam 2 petang semalam, beliau bersama 10 orang anggota polis bergegas ke lokasi bagaimanapun berjaya menahan dua orang individu.

Menurutnya, dalam situasi seperti ini, kesedaran masyarakat penting untuk membanteras gejala gores dan menang di samping penguatkuasaan pihak yang terlibat.

“Isu ini bukan perkara yang baharu. Tetapi mungkin sudah menjadi resam masyarakat kita hari ini yang mudah terpedaya dengan kata-kata manis berserta hadiah lumayan yang bakal dimenangi.

“Akibatnya, mereka tergadai harta benda dan duit dengan hanya mendapat satu objek yang berharga jauh lebih murah dari yang disangka,” katanya.

Tambahan pula, beliau turut menyarankan pihak berkuasa untuk turun padang memantau gejala gores dan menang ini yang seolah-olah semakin berleluasa.

Chon Siang berkata, tanpa penguatkuasaan daripada pihak ini, lebih ramai individu terus menjadi mangsa yang  akhirnya boleh mengakibatkan kes peras ugut dan kekerasan.

Seorang peniaga di pasar raya ini, Nurul Munirah Mohd Azman, 22 berkata, melihat jurujual yang memenuhi parkir kenderaan di sini sudah membuatkan dia berasa gerun.

Menurutnya, sebaik sahaja pelanggan memasuki kawasan parkir, dua tiga jurujual akan menghampiri kereta sebelum sempat ia diberhentikan.

“Ini apa yang saya selalu lihat hari-hari, ada yang lebih teruk apabila kepala mereka masuk ke dalam kereta semata-mata mahu menjual dan mempromosi produk tersebut sehingga ‘dilayan’ oleh pemandu kereta itu,” katanya.

Bagi Maznah Hashim, 43 berkata, kewujudan jurujual di segenap sudut tempat parkir kereta itu sememangnya tidak selesa lebih-lebih lagi bagi yang berkeluarga.

“Saya memang sering ke pasar raya ini dan tidak pernah melayan mana-mana jurujual gores dan menang. Tetapi kehadiran mereka mengganggu kami apabila terus mengekori dari belakang.

“Nak dimarah, bimbang juga mereka akan bertindak lebih kasar kerana bilangan mereka ramai. Oleh itu, saya biarkan sahaja sehingga mereka bosan mengekori kami,” katanya.

Justeru itu, penduduk berharap agar kegiatan gores dan menang ini mendapat perhatian pihak berkuasa untuk tindakan lanjut agar tidak terus berleluasa.

Kewujudan mereka boleh menyebabkan ramai yang menjadi mangsa dan menanggung kerugian kerana apa yang digores tidak sama dengan barang yang dimenangi itu.