Tidak dibenar ceramah kerana belum ada tauliah
SEREMBAN - Negeri Sembilan tidak benarkan juara program realiti
Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Azman Syah Alias atau PU Azman, memberi
ceramah atau mengajar agama di negeri ini.
Tindakan itu dibuat kerana beliau belum mempunyai sijil tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, PU Azman baru
menghantar borang permohonan minggu lalu dan perlu melalui sesi temuduga
terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada layak diberi tauliah atau
tidak.
“Buat masa ini dia masih belum ada tauliah. Sebenarnya, sebelum dia
masuk program TV itu, kita sudah nasihatkan untuk membuat permohonan
mendapatkan tauliah.
“Tapi, baru-baru ini saja dia menghantar permohonan yang lengkap. Jadi,
jika dia masih tetap memberi ceramah dan mengajar agama sebelum diberi
tauliah, ia boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, Mains akan menyemak latar belakang keseluruhan setiap
pemohon bagi memastikan fahaman mereka selari dengan pegangan Ahli
Sunnah Wal-Jamaah dan mengikut mazhab Shafie.
"Ia bagi mengelakkan ajaran atau fahaman yang disampaikan kelak
bertentangan, sekali gus boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,"
katanya di sini, semalam.
Yusuf berkata, masjid dan surau juga dinasihatkan menyemak status
penceramah yang dijemput terlebih dahulu dengan Mains termasuk
penceramah dari program realiti agama sama ada mempunyai tauliah atau
tidak.
Menurutnya, menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah
Negeri Sembilan jika individu yang memberi ceramah dan mengajar agama
tanpa tauliah.
“Kita pun akan tengok dahulu penceramah yang mahu dijemput oleh
masyarakat dengan menyemak latar belakang penceramah itu kerana tidak
mahu ada fahaman atau ajaran yang disampaikan tidak bersesuaian.
“Nasihat saya bukan saja kepada PU, tapi termasuk mereka yang mempunyai
lulusan agama dari Mesir sekalipun, perlu dapatkan tauliah kerana ia
adalah prosedur ditetapkan di negeri ini,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment