• Derita Syria berlarutan Pelarian Syria masih memerlukan perhatian segera dan sebahagian besar daripada mereka yang mendapatkan perlindungan di beberapa negara jiran hidup dalam keadaan menyayat hati.
1 / 1
KONFLIK di Syria kini memasuki tahun ke-5, namun kebangkitan kumpulan militan IS di rantau tersebut telah mengalih perhatian masyarakat antarabangsa terhadap kemelut tidak berkesudahan di negara terbabit.

Lebih 220,000 terkorban dan separuh daripada populasi penduduk di Syria kehilangan tempat tinggal sejak negara itu mula bergolak pada 2011.

Krisis yang semakin meruncing itu menyebabkan kumpulan hak asasi manusia bertindak menuding jari ke arah masyarakat dunia kerana gagal untuk menghentikan ketegangan tersebut.

Awal bulan lalu, lebih 30 termasuk kanak-kanak di Douma di utara Damsyik terbunuh selepas tentera kerajaan melancarkan serangan udara menyasarkan kawasan kediaman dan sekolah di bandar terbabit.

Sejak 2011, penduduk negara itu terus menjadi mangsa perang saudara antara tentera rejim Presiden Bashar al-Assad, angkatan bersenjata, pejuang Kurdish dan kumpulan pemberontak lain.

Usaha damai masih belum mencapai sebarang kesepakatan selepas beberapa rundingan sebelum ini terus menemui jalan buntu dan cadangan pelaksanaan gencatan senjata di Aleppo juga gagal dilaksanakan hingga kini.

Konflik itu bermula dengan protes antikerajaan pada 15 Mac 2011 selepas revolusi kebangkitan rakyat tercetus di Mesir dan Tunisia.

Tindakan keras pihak berkuasa telah mengeruhkan lagi keadaan, sekali gus menyebabkan kemelut berpanjangan hingga ke hari ini.

“Tiada siapa menyangka krisis ini akan menjadi satu bencana kepada Syria kerana ia bermula dengan protes secara aman,” kata ahli akademik dan penganalisis di Institut Doha, Marwan Kabalan.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian menyifatkan Syria adalah  bencana kemanusiaan terbesar dalam era ini.

Nasib kira-kira empat juta pelarian Syria masih memerlukan perhatian segera dan sebahagian besar daripada mereka yang mendapatkan perlindungan di beberapa negara jiran hidup dalam keadaan menyayat hati.