• GST
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Seramai 5,000 sukarelawan sahabat Majlis Belia Malaysia (MBM) akan melakukan pemantauan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula Rabu ini di seluruh negara.
    
Presiden MBM, Mu'amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, pemantauan tersebut akan dilaksanakan bersama pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 
    
Sukarelawan itu akan juga memberi maklumat kepada orang ramai mengenai GST, katanya ketika sidang media mesyuarat Dewan Tertinggi MBM di sini, semalam.  
    
Mu'amar berkata, ia juga bagi membolehkan pengguna peka dan membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana kedai yang menaikkan harga barang yang tidak termasuk dalam senarai persijilan GST. 
    
MBM akan menyerahkan maklumat dan aduan yang diterima kepada pihak berkuasa.
    
Sementara itu, MBM akan menganjurkan kempen Belia Tolak Ekstremisme pada Sabtu ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini yang akan menghimpun pelbagai golongan belia selain memberi penerangan tentang aktiviti kumpulan militan IS (Islamic States). 
 
"Melalui perhimpunan tersebut akan diserahkan deklarasi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.
    
Dalam mesyuarat itu, MBM turut memberi sokongan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 yang akan dilancarkan pada bulan hadapan demi pembangunan sosial dan ekonomi negara.  - Bernama