• Datuk Seri Lajim Ukin Lajim Ukin
1 / 1
KOTA KINABALU - PR Sabah hari ini secara rasmi memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan Pas Sabah selepas tidak bersetuju dengan usaha Pas melaksanakan hukum Hudud di Malaysia.

Jurucakap PR Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berkata keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat yang dihadiri wakil Pas, DAP dan PKR sendiri di sini petang ini.

Menurut Lajim, PR Sabah berpendapat tidak ada keperluan untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia pada masa ini.

"Kami telah mengambil kira semua pandangan, faktor dan keadaan politik semasa dan telah mengambil keputusan yang berat untuk memutuskan hubungan kerjasama dengan PAS. Namun begitu, kami akan terus komited untuk berjuang dalam PR di antara PKR dan DAP," kata Lajim dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Antara pemimpin parti-parti politik dalam PR Sabah yang menghadiri mesyuarat hari ini ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Sabah, Ali Hasan, Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Sabah, Hamid Ismail, Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong dan Lajim selaku pengerusi MPN PKR Sabah. 

Bagaimanapun, Lajim menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin beragama Islam dalam PKR tidak menolak hukum hudud kerana ia terkandung dalam al-Quran namun mereka menolak pelaksanaannya di Malaysia.


Menurut Lajim, PR mengharapkan Pas Sabah untuk tidak meneruskan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia namun parti berkenaan tetap serius untuk melaksanakannya.

"Oleh itu, adalah terlalu rumit untuk meneruskan kerjasama politik dengan mereka dalam keadaan sedemikian," kata Lajim.


Lajim berkata keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Pas Sabah itu dibuat sendiri oleh PR Sabah tanpa campur tangan PR Pusat namun keputusan
itu telah dimaklumkan kepada PR Pusat.  


Ditanya sama ada PKR dan DAP Sabah masih boleh menggunakan platform PR untuk kerjasama politik mereka di Sabah selepas Pas tidak lagi berada di dalam pakatan itu, Lajim berkata, ia adalah wajar kerana PKR dan DAP masih majoriti.


[ARTIKEL BERKAITAN: DAP Sarawak umum keluar PR]
Jumaat lalu, DAP Sarawak hari ini mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini berkuat kuasa serta merta.
  
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana sekutu PR, Pas telah menyeleweng daripada dasar bersama PR dengan mahu melaksanakan hukum hudud di Malaysia. Sekutu ketiga dalam PR ialah PKR.