• hudud
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas menafikan laporan sebuah portal berita bahawa Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dipinda Kerajaan Kelantan.

Ketua Sekretariat Tetap Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, urusan agama negeri adalah di bawah Sultan dan pendirian Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V jelas menyokong hudud.

"Saya rasa tidak ada. Enakmen ini tidak ada kena mengena dengan Majlis Raja-raja. Majlis Raja-raja membincangkan mengenai urusan agama yang berkaitan dengan seluruh negara.

"Dan dari segi sejarah pada 1993, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) telah pun mendapat perkenan diraja. Jadi isu agama berkaitan enakmen hudud di Kelantan ini tidak ada kena mengena dengan Majlis Raja-raja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menurutnya, beliau juga telah difahamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob bahawa perkara itu tidak dibawa kepada Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa Jawatankuasa Teknikal Hudud yang diwakili daripada enam orang dari kerajaan Negeri Kelantan, enam wakil Kerajaan Pusat dan beberapa jabatan berkaitan telah bersetuju enakmen tersebut dibawa ke Dewan Rakyat.

"Misalnya yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Kelantan, dan jabatan berkaitan.

"Apa yang dibincangkan adalah apa yang perlu kita buat terhadap Enakmen ini, yang sebelum ini kerajaan pusat tidak campur tangan langsung," katanya.

Tambah beliau, selepas wujudnya jawatankuasa tersebut, beberapa penambahbaikan telah dimasukkan dalam pindaan.

"Penambahbaikan ini dipersetujui dan kita menerima saranan-saranan walaupun kita tidak menerima sepenuhnya,"katanya