• hudud
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Enakmen Kanun Jenayah Syariah II atau hudud menjadi ujian kepada keikhlasan parti rakan komponen dalam PR, DAP dan PKR terhadap Pas.

Timbalan Pesuruhjaya I Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berkata, sekiranya PR gagal dalam ujian hudud ini, ketiga-ketiga parti harus mengkaji semula kewajaran berada dalam perikatan itu.


“Saya rasa hudud ini merupakan satu ujian buat PR kerana selepas ini, ujian yang lebih besar akan PR hadapi sekiranya kita memerintah negara.


“...Adakah PKR dan DAP setuju dengan dasar perjuangan Pas? Pas...Presiden Pas telah menyebut dengan jelas bahawa Pas tetap dengan dasar perjuangan Islam. Maka ujian hudud ini akan menjadi satu indikasi bagaimana kerjasama yang lebih besar, lebih teguh dan lebih penting boleh dibuat sekiranya ujian ini dilepasi.


“Kalau ujian ini gagal, bermakna kajian semula harus dibuat. Adakah kerjasama yang lebih besar boleh diteruskan sekiranya PKR dan DAP dilihat menentang dasar perjuangan Pas?,” katanya dalam sidang media di Konvensyen Pas Wilayah Persekutuan, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau menyentuh soal konsep ‘agree to disagree’ (setuju untuk tidak bersetuju) yang dipegang parti komponen PR sejak 2012 susulan isu hudud ini.


“Jadi, pada 2012, satu kenyataan bersama telah dibuat oleh semua pimpinan utama PR bahawa ‘agree to disagree’. Antara sebab timbulnya ‘agree to disagree’ ini adalah isu hudud di Kelantan. Di mana hudud yang telah dibentangkan dan diluluskan pada tahun 1993...Semua komponen PR telah bersetuju bahawa hudud ini isu yang telah mendahului PR dan memberikan hak kepada Pas untuk meneruskan agenda ini.


“Jadi, sebelum kerjasama yang lebih besar dibuat, maka hudud ini menjadi satu ujian kepada PR. 


Adakah komponen PR ikhlas menerima Pas sebagai komponen untuk bekerjasama dalam PR? Kalau dalam isu ini dilihat gagal untuk bekerjasama, maka satu kajian semula wajar dilihat,” katanya.


 Namun menurutnya, kajian semula itu bukan hanya melibatkan Pas sebaliknya membabitkan ketiga-tiga parti komponen PR.


“Semua parti perlu buat kajian semula kalau mahu melihat PR kekal. Bukan hanya Pas harus mengkaji, parti-parti lain juga perlu melihat semula adakah masih relevan ikatan ini?,” katanya.