• Khalid Abu BakarKhalid Abu Bakar
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Penganjur perhimpunan #KitaLawan tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan sebarang perhimpunan di ibu kota, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, ini berikutan tindakan kumpulan itu bertindak agresif terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kejadian kira-kira 12.15 pagi tadi.  

"Kumpulan ini belasah penguat kuasa DBKL. Kalau nak berhimpun, buatlah dengan cara yang aman. Bukan bertindak ganas. Maka kumpulan ini tidak lagi dibenarkan untuk berkumpul.   

"Jadi kerana mereka tidak dapat mengawal diri sendiri dan menganggu keamanan, mereka tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan-kawasan mereka biasa buat. Saya dah pesan, kalau nak buat apa-apa perhimpunan, ikut peraturan. Saya ingin menegaskan bahawa, kumpulan ini tidak lagi dibenarkan berhimpun di mana-mana kawasan," katanya.   

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran International Islamic University Malaysia (IIUM) Royal Malaysia Police Alumni Chapter di sini, hari ini.   

Khalid berkata berkata, jika perhimpunan itu terus dijalankan, maka polis akan menangkap mereka yang terbabit.    

"Saya mengingatkan supaya perhimpunan ini dihentikan. Kami menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak bahawa perhimpunan itu  menyusahkan orang awam, pengusaha teksi dan peniaga," katanya.   

Tambah Khalid, penganjur yang ingin mengadakan perhimpunan perlu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.   

Menyentuh mengenai pembabitan penuntut universiti dalam perhimpunan,  beliau berkata pihaknya akan merujuk universiti berkaitan untuk tindakan seterusnya.   

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli ditahan bagi membantu siasatan berhubung pengedaran surat arahan berkaitan membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.     

"Polis akan meneliti sejauh mana surat arahan yang telah diedarkan oleh Rafizi kepada para penyokong perhimpunan #KitaLawan, esok," katanya.
  
Polis hari ini menahan Rafizi di bawah Akta Hasutan 1948 bagi membantu siasatan berhubung kenyataan beliau di media sosial yang dipercayai berbaur hasutan. Rafizi ditahan pada pukul 3 petang di pejabatnya di Pandan Prima.   

Khalid berkata tindakan Rafizi disifatkan amat berbahaya kerana surat yang dikeluarkan itu boleh mengundang pelbagai makna.   

"Surat terbuka macam ni boleh menimbulkan pelbagai makna...adakah dia mengarahkan orang-orang dia supaya pecah penjara itu? Surat ini memberi pelbagai kefahaman...jadi kita menahan Rafizi untuk membantu siasatan," katanya.   

Khalid berkata, pengedaran surat seperti itu boleh mendatangkan bahaya dan pihaknya tidak membenarkan perbuatan seperti itu.   

Polis mengingatkan apa jua jenis surat arahan yang dikeluarkan seperti itu, yang cuba menimbulkan kekecohan, akan diambil tindakan. - Bernama