• Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
 1 / 1 
GEORGETOWN - Masyarakat di negara ini diminta supaya tidak terlalu emosi dalam menunjukkan sokongan mahupun bantahan terhadap perundangan Islam yang sedang dibincangkan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, masyarakat perlu menjaga kemajmukan dengan menghormati antara satu sama lain.

“Saya cuba bersikap objektif dan tidak emosi, kepada mereka yang menyatakan sebagai seorang Muslim, tidak siapa yang boleh kata tidak kepada hudud kerana ia undang-undang Islam yang tertulis dalam al-Quran dan sunnah.

“Dalam hal menjaga kemajmukan masyarakat, agama dan kaum, saya nasihatkan apabila ia dibawa ke demokrasi sebenar, masyarakat terbahagi dua sama ada sokong ataupun sebaliknya. Walaupun sokong, jangan terbawa-bawa sehingga menjejaskan keharmonian dan undang-undang dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, walaupun ada sesetengah pihak menolak perundangan jenayah syariah Islam ini, mereka perlu bersikap objektif dan tidak terlalu ekstrem.